BBC SAMBUT BAIK BELANJAWAN MADANI 2027, PERKUKUH EKONOMI DAN MEMBELA KESEJAHTERAAN RAKYAT

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Belanjawan MADANI 2027 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi negara dan membela kesejahteraan rakyat.

BBC mengalu-alukan pengumuman peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM 16 bilion serta cadangan menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 yang dilihat mampu memberi kelegaan kepada rakyat, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu secara mampan.

Lebih signifikan, BBC melihat pengumuman kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 serta pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai langkah penting untuk menangani persoalan pendapatan rakyat secara lebih mendasar. Pendekatan ini menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja mahu meringankan beban perbelanjaan, malah turut memperkukuh keupayaan rakyat menjana pendapatan yang lebih bermaruah.

Dalam aspek pembangunan, BBC turut menyambut baik pengumuman pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil, penyediaan hampir RM1 bilion bagi projek perumahan rakyat termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, serta peningkatan peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam kepada RM2.3 bilion. Inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI yang turut memberi perhatian terhadap keperluan kediaman yang berkualiti dan persekitaran hidup yang lebih selesa.

Ahli-Ahli Parlimen BBC akan menggunakan ruang perbahasan untuk memperhalusi Belanjawan yang telah dibentangkan dengan mengetengahkan keperluan rakyat dan mencadangkan penambahbaikan keberkesanan langkah-langkah yang diumumkan.

BBC kekal komited mendukung agenda reformasi ekonomi Kerajaan MADANI, di samping memastikan proses perbahasan dan penelitian Belanjawan 2027 menjadi ruang untuk memperkukuh dasar demi kepentingan rakyat dan negara.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *