BELANJAWAN 2027 PERKUKUH EKOSISTEM DIGITAL NEGARA, RM5 BILION UNTUK JENDELA

CYBERJAYA, 12 Oktober 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik Belanjawan 2027 yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan serta mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beberapa inisiatif strategik yang diumumkan akan memberi tumpuan kepada peluasan liputan Internet, pemerkasaan kesihatan digital, pembangunan kemahiran masyarakat serta pengukuhan keselamatan siber negara.

JENDELA TERIMA PERUNTUKAN RM5 BILION

Antara inisiatif utama ialah peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

Inisiatif itu turut menyasarkan peningkatan kesalinghubungan merentasi 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara.

Usaha berkenaan dijangka menyokong akses digital yang lebih meluas, sekali gus membantu merapatkan jurang kesalinghubungan antara kawasan bandar dengan luar bandar.

RM1 BILION PERKUKUH KESIHATAN DIGITAL

Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pemerkasaan ekosistem kesihatan digital negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Inisiatif tersebut akan menyokong peningkatan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), telekesihatan serta penggunaan dron bagi penghantaran ubat.

Langkah itu bertujuan menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

NADI DIPERKASA DENGAN PERUNTUKAN RM142 JUTA

Sebanyak RM142 juta diperuntukkan bagi memperkasa fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital.

Peruntukan tersebut akan menyokong penyediaan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain membantu pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.

Dalam masa yang sama, peluasan akses Internet melalui penyediaan Wi-Fi di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

SALAM PERKUKUH RANGKAIAN DIGITAL NEGARA

Pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) turut diketengahkan bagi meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Inisiatif itu bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan melalui infrastruktur komunikasi yang lebih kukuh.

KEDAULATAN AI DAN KESELAMATAN SIBER DIPERTINGKAT

Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha mempertingkat keselamatan siber bagi memperkukuh kedaulatan data serta menyokong pembangunan AI yang selamat.

MCMC juga akan meneruskan Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah seluruh negara, di samping memperhebat usaha membanteras penipuan digital.

Menurut kenyataan itu, lebih 5.7 bilion panggilan dan SMS berunsur penipuan telah disekat.

MCMC KOMITED PASTIKAN MANFAAT SAMPAI KEPADA RAKYAT

MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, industri serta negara.

Pelaburan strategik berkenaan diyakini mampu memacu pembangunan ekonomi digital dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang berdaya saing.

BERITATERKINI #JENDELAMADANI

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *