



KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II ibn Al Hussein, sempena Lawatan Negara baginda ke Malaysia selama dua hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Jordan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, teknologi baharu dan pembinaan ekosistem semikonduktor.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan pusat pendidikan dan latihan teknikal berteknologi maju bagi melahirkan lebih ramai jurutera serta tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
PERLUAS PERDAGANGAN DAN PELABURAN
Dalam aspek ekonomi, kedua-dua pemimpin meneliti peluang memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk potensi perjanjian perdagangan bebas (FTA), penstrukturan semula tarif serta pengukuhan rantaian bekalan.
Kerjasama dalam sektor tenaga, pengangkutan, industri halal dan pelancongan turut dibincangkan sebagai bidang berpotensi untuk memperluas hubungan ekonomi serta mewujudkan peluang baharu kepada kedua-dua negara.
Perbincangan itu juga mencerminkan usaha Malaysia dan Jordan meneroka kerjasama dalam sektor strategik yang dapat menyokong pembangunan teknologi, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi.
MALAYSIA-JORDAN SENADA DESAK HENTIKAN KEKEJAMAN TERHADAP PALESTIN
Dalam membincangkan perkembangan geopolitik Asia Barat, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin senada mengenai keperluan mendesak untuk menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, termasuk keganasan dan pencabulan hak yang berterusan di Baitulmaqdis serta Tebing Barat.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan di Syria dan implikasinya terhadap keselamatan serta kestabilan rantau berkenaan.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin, selain memperkukuh penyaluran bantuan kemanusiaan, khususnya kepada penduduk Gaza.
Menurut beliau, Raja Abdullah II turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian dan peranan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
HUBUNGAN BERTERASKAN KEAMANAN DAN KEADILAN
Anwar berharap pertemuan itu menjadi pemangkin untuk mengangkat hubungan Malaysia-Jordan ke tahap lebih bermakna, bukan sahaja melalui kerjasama ekonomi dan teknologi, malah berlandaskan nilai kemanusiaan, keamanan dan keadilan sejagat.
Hubungan strategik kedua-dua negara diharap terus berkembang melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, perdagangan, pelaburan dan teknologi, di samping persefahaman mengenai isu serantau serta perjuangan membela hak rakyat Palestine.
