Majikan perlu tingkat produktiviti tampung kenaikan gaji minimum

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Majikan perlu meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi dan memanfaatkan teknologi bagi menampung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 tanpa memindahkan beban kos kepada pengguna.

Penasihat Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kemampuan melaksanakan kenaikan RM300 sebulan itu bergantung pada kedudukan kewangan, saiz syarikat dan tahap produktiviti pekerja.

Menurutnya, syarikat yang mempunyai margin keuntungan rendah, khususnya perusahaan kecil, mungkin berdepan cabaran menyesuaikan struktur gaji kepada kadar baharu.

Beliau berkata, majikan perlu menilai semula struktur gaji, menambah baik kaedah kerja serta menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing.

Pada masa sama, kenaikan kos buruh berpotensi mencetuskan kesan berantai apabila pembekal dan pengeluar menaikkan harga, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna.

Justeru, perusahaan kecil memerlukan bantuan dan bimbingan agensi kerajaan untuk menyesuaikan operasi, manakala pekerja perlu diberikan latihan semula bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas bernilai lebih tinggi dan meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Biz Malaysia di Angkasapuri.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *