
ALOR GAJAH, 17 Oktober – Seramai 1.2 juta pekerja yang belum mencarum di bawah skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) digesa mendapatkan perlindungan awal bagi mengurangkan risiko beban kewangan akibat kemalangan di luar waktu bekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pelepasan cukai tambahan sebanyak RM150 setahun yang diperkenalkan memberi insentif kepada pekerja untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial berkenaan.
Menurutnya, kos rawatan perubatan akibat kemalangan boleh mencecah ratusan ribu ringgit, malah sehingga RM1 juta bagi kes tertentu.
Kepentingan skim itu turut dibuktikan menerusi rekod 10,424 tuntutan yang diterima bagi tempoh 1 Jun hingga 30 September lalu.
Beliau mengingatkan pekerja supaya tidak menunggu sehingga ditimpa kemalangan sebelum mendapatkan perlindungan, memandangkan kejadian tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
