PROGRAM SUMBANGAN RM1,000 KEPADA PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA , BAS SEKOLAH PULAU PINANG

PULAU PINANG, 17 OKTOBER 2026

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) meneruskan pelaksanaan Program Sumbangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bertempat di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

Program ini merupakan susulan daripada majlis peluncuran oleh Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim yang telah disempurnakan pada 14 Oktober 2026 di Putrajaya melibatkan penerima di zon tengah.

Majlis seterusnya melibatkan penerima di Pulau Pinang dan disempurnakan oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kebajikan golongan pemandu serta meringankan beban kewangan mereka, susulan pengumuman bantuan khas kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober 2026.

SUMBANGAN RM1,000 UNTUK KESEJAHTERAAN PEMANDU

Program ini khusus kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, dengan setiap penerima manfaat menerima sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali beri (one-off).

Ia mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan golongan pemandu serta penghargaan atas peranan mereka dalam memenuhi keperluan pengangkutan rakyat.

MOT memahami bahawa pemandu perlu mengimbangi keperluan menanggung kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan dengan perbelanjaan harian serta komitmen keluarga. Pemberian sumbangan ini diharap dapat memberikan kelegaan kewangan dan membantu mereka memenuhi keperluan tersebut.

PENGAGIHAN BERPERINGKAT KE SELURUH NEGARA

Penyaluran sumbangan pada hari ini di Pulau Pinang merupakan kesinambungan usaha pengagihan secara berperingkat ke seluruh negeri di Malaysia.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Dewan Seri Pinang, George Town, Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook. Kira-kira 700 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Pulau Pinang Zairi Khir Johari dan Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof.

Bagi pemandu yang tidak terlibat di dalam program pada hari ini, mereka tetap layak untuk menerima bantuan khas kewangan dengan syarat mempunyai kad pemandu dan PSV yang masih sah laku. Sekiranya telah tamat tempoh sah laku, mereka perlu memperbaharui kad pemandu secara atas talian di portal pelesenan APAD (i-SPKP) selewat-lewatnya 25 Oktober 2026.

Pelaksanaan awal ini turut mengambil kira hasrat Kerajaan supaya pemandu beragama Hindu dapat menerima bantuan sebelum sambutan Deepavali, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan dan persiapan perayaan bersama keluarga.

MOT akan terus menyelaras pengagihan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan penyalurannya berjalan dengan teratur dan memberi manfaat kepada penerima yang disasarkan. Peluasan program ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah terus diberi perhatian secara menyeluruh, termasuk di Sabah dan Sarawak.

HASIL JUALAN SIRI ‘H’ DIKEMBALIKAN KEPADA RAKYAT

Pembiayaan bantuan khas kewangan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri ‘H’ yang menjana RM91.2 juta.

Hasil yang telah diperoleh pada tahun ini membolehkan penyaluran bantuan dimulakan lebih awal, sebelum Belanjawan 2027 diluluskan, sebagaimana dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan pada sidang media susulan pembentangan Belanjawan 2027 pada 12 Oktober 2026.

Penyaluran hasil tersebut kepada golongan pemandu memperlihatkan usaha Kerajaan untuk memastikan hasil yang dijana dapat diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat.

Pendekatan ini selaras dengan nilai kesejahteraan dan ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI, dengan memberi perhatian kepada kebajikan golongan yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada masyarakat.

MENGHARGAI SUMBANGAN PEMANDU, MEMELIHARA MOBILITI RAKYAT

Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah memainkan peranan penting dalam kehidupan harian masyarakat. Perkhidmatan mereka memudahkan pergerakan rakyat ke tempat kerja, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan serta pelbagai destinasi bagi menjalankan urusan harian.

Sumbangan ini menjadikan mereka sebahagian penting daripada rangkaian pengangkutan darat negara. Kebajikan dan kelangsungan mata pencarian pemandu perlu diberi perhatian seiring usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat.

MOT akan terus memberi perhatian kepada keperluan golongan pemandu dan cabaran yang dihadapi oleh industri, demi menyokong perkhidmatan pengangkutan yang selamat, berkualiti dan boleh diharap.

Program Sumbangan RM1,000 kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menghargai sumbangan pemandu, memelihara kesejahteraan keluarga mereka serta memastikan pembangunan sektor pengangkutan membawa manfaat kepada rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *