MyCV teliti peluang dana untuk pemuzik OKU penglihatan

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – MyCreative Ventures (MyCV) diminta meneliti peluang pendanaan bagi penyanyi dan pemuzik Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan menerusi program sedia ada bagi membantu mereka menghasilkan album dan menganjurkan persembahan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata MyCV akan mengadakan perbincangan susulan dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi mengenal pasti keperluan serta cadangan bantuan kepada penggiat seni berkenaan.

Beliau turut meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneliti peluang menampilkan ahli MAB sebagai pembaca berita sempena acara berkaitan OKU, selain membuka ruang penglibatan mereka dalam bidang muzik dan penyiaran.

Menurutnya, kerjasama antara kementerian dan agensi perlu diperkukuh bagi memperluas akses golongan OKU kepada dana, geran, latihan kemahiran serta program literasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas Program Disability Equality Training (DET) bagi mengubah persepsi majikan terhadap keupayaan OKU, selain memperkukuh perkhidmatan Job Coach dan pemadanan pekerjaan menerusi kerjasama dengan PERKESO.

Langkah itu bertujuan memperluas peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya golongan OKU, termasuk dalam industri kreatif yang masih berdepan cabaran stigma masyarakat serta kekurangan ruang persembahan. – BERNAMA

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *