
PORT DICKSON, 21 Okt. β Seorang pelajar kolej berusia 21 tahun yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hotel di Lukut ditemukan maut di belakang sebuah kedai makan di sini pada 6.05 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan abdomen dipercayai berpunca daripada terjatuh dari tempat tinggi.
Pemeriksaan polis di bilik sewa tiga tingkat yang dipercayai dijadikan asrama mangsa tidak menemukan sebarang kesan geledah atau kehilangan barang berharga dan dokumen peribadi.
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan serta tidak membuat spekulasi bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa. β BERNAMA
