PMX TERIMA KUNJUNGAN KETUA UMUM DDII, PERKUKUH HUBUNGAN DAKWAH MALAYSIA–INDONESIA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Fathurrahman Mahfudz, bagi bertukar pandangan mengenai gerakan dakwah Islam di Malaysia dan Indonesia serta cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini.

Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkembangan isu antarabangsa dan kepentingan memperkukuh hubungan antara gerakan dakwah kedua-dua negara yang telah terjalin sejak sekian lama.

Menurut beliau, hubungan erat Malaysia–Indonesia dalam bidang dakwah turut berteraskan legasi tokoh dakwah dan negarawan Indonesia, Mohammad Natsir, serta Buya Hamka, ulama, sasterawan dan pemikir Islam tersohor yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah dan pemikiran Islam di Nusantara.

Legasi kedua-dua tokoh berkenaan menjadi antara asas penting dalam mengukuhkan tradisi keilmuan, pemikiran Islam dan usaha dakwah yang memberi manfaat kepada masyarakat serantau.

Anwar turut mendoakan agar DDII terus memainkan peranan dalam menyebarkan dakwah dan memperluas khidmat kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Beliau berharap setiap usaha yang dilaksanakan dapat menyuburkan ilmu, menyampaikan harapan kepada masyarakat serta menghasilkan manfaat berpanjangan kepada umat.

Pertemuan itu mencerminkan kepentingan meneruskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh gerakan dakwah, memperluas pertukaran pandangan serta menghadapi cabaran semasa secara bersama berlandaskan nilai keilmuan, kebajikan dan kemanusiaan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *