

KUALA LUMPUR, 228 Oktober 2026– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi menerima kunjungan hormat Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal, yang baru-baru ini dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand.
Anwar berkata, Malaysia kekal komited memainkan peranan konstruktif dalam menyokong usaha ke arah keamanan dan kestabilan serantau, khususnya menerusi proses dialog yang mengutamakan persefahaman serta penyelesaian secara damai.
Menurut beliau, dialog yang berteraskan kepercayaan, persefahaman dan keterbukaan amat penting bagi merintis penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan demi kesejahteraan rakyat di Selatan Thailand.
Pendekatan melalui dialog juga penting bagi membina keyakinan antara pihak berkepentingan serta mewujudkan ruang perbincangan yang dapat menyokong usaha mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan di wilayah berkenaan.
Malaysia terus menyokong usaha yang dapat menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian serantau, dengan kesejahteraan rakyat sebagai antara keutamaan dalam proses mencapai penyelesaian damai.
Pelantikan Ahmad Norihan sebagai fasilitator kerajaan Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha meneruskan penglibatan Malaysia dalam proses dialog damai Selatan Thailand.
Usaha berkenaan diharap dapat membantu membuka ruang kepada penyelesaian yang mampan serta membawa keamanan dan kehidupan lebih sejahtera kepada masyarakat di Selatan Thailand.
