PMX tinjau persiapan penganut Hindu sambut Thaipusam di Kuil Batu Caves

Oleh: Sholina Osman
7 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke pekarangan Kuil Hindu Batu Caves bagi meninjau persiapan penganut Hindu yang akan menyambut perayaan Thaipusam pada hari Selasa depan.

Menerusi perkongsian di FB, beliau berkata, lawatan ini juga antara lain adalah bagi memantau persiapan serta memastikan agar sambutan Thaipusam pada minggu hadapan dapat dirayakan penganut Hindu dengan aman, selamat dan tidak menyulitkan mereka.

Sebelum itu Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mardhiyah, dan menjamu selera di Medan Selera Anjung, Taman Melawati, Ampang.

TIDAK SEKADAR SIMBOLIK

“Kunjungan ini tidak sekadar simbolik, tetapi satu cetusan dan manifestasi betapa Malaysia adalah sebuah negara yang rencam budaya dan agama yang telah sekian lama hidup berukun dan berdamping di bawah satu bumbung bernama Malaysia,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, dalam kepelbagaian, kita menemukan kekuatan. Dalam perbedaan, kita membina perpaduan.

MALAYSIA MESTI MEKAR

Justeru, kata beliau Malaysia mesti mekar sebagai tatanan dan negara yang kuat atas tiang kemajmukan.

Sebagai rakyat yang bijak dan cintakan negara, kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini serta elakkan diri dari sebarang usaha dan sentimen yang memicu perpecahan.

Semoga sambutan Thaipusam pada kali ini membawa kebahagiaan kepada seluruh penganut Hindu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *