JAKIM boleh nasihat isu hadir majlis di rumah ibadat bukan Islam

Oleh: Sholina Osman
7 FEB. 2025

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat
berkaitan keperluan menjaga akidah ketika umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam tetapi ia tidak bersifat dasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan media bersama memaklumkan perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu,” katanya.

Isu ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.

MEMBANGUNKAN GARIS PANDUAN

Bagi memberi panduan kepada umat Islam, JAKIM telah mengambil inisiatif untuk membangunkan garis panduan tersebut.

Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara juga akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.

ANTARA PENGANUT AGAMA

Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan
secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama.

Untuk makluman, Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli – ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama
(Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).

Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.

Kerajaan MADANI menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *