






Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan MAIPs
9 FEB. 2025
Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Ibadan, Nigeria, yang dibina hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi Jumaat lalu (7 Februari 2025).
Kenyataan media MAIPs memaklumkan pembinaan pusat ini direalisasikan dengan sumbangan RM200,000 daripada MAIPs.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs yang diiringi anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail telah berkenan menyampaikan sumbangan itu pada 27 Julai 2024 yang lalu di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria.
YAYASAN AMAL AL MAWADDAH
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpusat di Ibadan, Nigeria, dan diterima oleh Pengerusi Yayasan berkenaan, Dr. Abdulrasheed Olatunji, serta Timbalannya, Alhaj Ridwan.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, Aiyub Omar, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto, Sadaukin Muhammad Lawal Maidoki, Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada 7 Februari 2025, Pusat Islam tersebut telah mengadakan solat Jumaat pertamanya, dengan khutbah disampaikan oleh Dr. Abdulrasheed Olatunji, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.
BAGI AKTIVITI KEAGAMAAN
Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijangka menjadi pusat utama bagi aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan tersebut.
Antara program yang dirancang termasuk dakwah, kursus syariah untuk imam dan pendakwah, program Ramadan, pembinaan telaga, penajaan anak yatim, pengagihan al-Quran, serta pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan.
Masyarakat setempat menyambut baik kewujudan pusat ini dan berharap ia dapat terus berkembang sebagai pusat penyebaran ajaran Islam yang murni serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan ukhuwah Islamiah di kawasan sekitar tersebut. – JM
