KPM perkasa pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan KPM
9 FEB. 2025

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha memastikan agenda
pencegahan rasuah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Kenyataan media KPM memaklumkan, sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, KPM bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

“Di bawah Substrategi 5, NACS 2024-2028, KPM telah berjaya
meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024 sebagai
pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan
murid yang berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian
unggul,” kata kenyataan itu lagi.

SELARAS DENGAN FOKUS

Kit Duta Sahsiah juga adalah selaras dengan fokus utama Kementerian
pada tahun 2025 untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan
pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada
semua penjawat awam dan institusi pendidikan.

Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi,
kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen
penting pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ terkandung dalam Kit Duta Sahsiah.

Duta sahsiah yang dipilih adalah suri teladan untuk mempromosi serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.
KPM komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028.

Ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan salah satu daripada
daripada agenda utama reformasi negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *