UPSI kongsi kepakaran bersama ASWARA laksana MySIS

Oleh: Sholina Osman
11 FEB. 2025

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tersohor dalam melahirkan guru pelbagai bidang dalam pendidikan di sekolah menerima kunjungan hormat delegasi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Jumaat lalu.

Delegasi ASWARA diketuai oleh Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar itu turut disertai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akadamik, Prof. Ts. Dr. Khairul Azril Ismail; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Ts. Dr. Zulkifli Ab Rashid (Timbalan Rektor HEPA) bertujuan membuka jaringan baharu antara kedua institusi.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, lawatan ASWARA itu menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik, memperluas jaringan serta menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada kedua-dua institusi.

“Kedua-dua institusi juga boleh berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya bidang seni dan persembahan yang bukan sahaja akan memanfaatkan kedua-dua pihak, tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan profesional bakat seni di Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.

HEBAT DAN BERBAKAT

Beliau berkata, UPSI mempunyai Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) yang melahirkan guru-guru muzik yang hebat dan berbakat yang berkhidmat di sekolah-sekolah arus perdana serta sekolah seni seluruh negara.

Selain itu, katanya, UPSI mempunyai Pusat Kebudayaan yang menggerakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan membabitkan kakitangan dan pelajar berbakat.

Beliau berkata inisiatif ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua institusi dan membuka peluang kepada pensyarah dan pelajar kedua-dua universiti untuk terbabit dalam pelbagai program bersama.

MEMPERKUKUH SISTEM PENGURUSAN

Prof. Dr. Tan Awang Besar berkata, ASWARA berhasrat untuk memperoleh Sistem Maklumat Akademik dan Rekod Pelajar (MySIS) bagi memperkukuh Sistem Pengurusan Pelajar sedia ada di ASWARA dengan berpandukan model pengurusan pelajar UPSI.

Dengan adanya sistem itu, katanya, diharap dapat membantu ASWARA dalam memajukan inovasi teknologi, khususnya dalam menyediakan penyelesaian digital yang lebih efisien dan berkesan.

Menurut Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr Megat Azrin Ahmad perolehan sistem oleh ASWARA itu membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih luas dalam bidang teknologi maklumat, malah UPSI komited untuk berkongsi kepakaran kepada ASWARA terutamanya dalam pembangunan aplikasi berasaskan sumber terbuka.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *