



Oleh: Sholina Osman
11 FEB. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan siasatan ke atas enam individu yang dipercayai telah memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook (FB).
Kenyataan media MCMC memaklumkan, operasi pemeriksaan telah dijalankan pada hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Berikutan itu, katanya satu unit telefon pintar, dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” kata kenyataan itu.
KES AKAN DISIASAT
Selain itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, yang mana suspek akan diambil keterangan pada esok (12 Februari 2025) bersama-sama dengan USJT.
Operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan iaitu Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.
Terdahulu, dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform FB.
KES AKAN DIKEMUKAKAN
Siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai adalah dingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar, yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.
KANDUNGAN YANG DIMANIPULASI
Berwaspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa lakukan pengesahan fakta dan semak silang dengan pelbagai sumber yang dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat.
Gunakan Chatbot AIFA sebagai platform untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.
AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp.
Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. – JM
