“Makcik setia menunggu jawapan anaknda” pujuk Menteri Pendidikan anak B40 tidak tercicir persekolahan

Petikan FB Fadhlina Sidek
26 FEB. 2025

Saya ini paling ralat kalau anak-anak B40 menolak tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana belenggu kemiskinan keluarga.

Sedangkan polisi kita jelas, anak-anak B40 yang ada potensi inilah harus kita beri peluang dan beri keutamaan.

Maka terjadilah sesi pujuk memujuk ini. Anak yang cerdik dan baik ini mendapat beberapa tawaran sekolah yang baik termasuk SBP. Tetapi menolak kerana kekangan kewangan keluarga.

Mula-mula ibu bapanya perlu dipujuk dengan memberi keyakinan bahawa isu perbelanjaan dan bantuan tidak perlu dibimbangkan. Semua bantuan persekolahan boleh diuruskan.

SESI PUJUK MEMUJUK

Selesai pujuk mak ayah. Berkumpullah kami secara jemaah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), masuk Google meet untuk sesi pujuk memujuk.

Memujuk anak jauh lebih susah. Dia menangis. Saya pun menangis. Dia terharu. Saya yang pilu. Kebimbangannya jelas. Tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Nampak sangat berat beban mahu meninggalkan keluarga. Walaupun beban kewangan bukan lagi isu setelah saya memberikan jaminan, anggap sahaja selesai kerana saya ada.

Anak ini cerdik. Musyawarah bersama keluarga adalah keutamaannya. Dengan sopan, dia meminta masa dan ruang perbincangan. Saya sebut kepadanya, apa pun pilihannya, saya akan sokong tetapi yang penting mesti terus belajar.

Begitulah usaha kami di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sokongan kepada anak ini bukan setakat di peringkat sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Malah Menteri pun harus membantu meyakinkan anak ini. Keciciran “is a non negotiable”. Semua pihak mesti turun hingga ke akar umbi.

Kita doakan yang terbaik. Soalnya bukan tempat belajar, tetapi kemahuan untuk terus belajar.

Tidak mengapa anaknda. Ambilllah masa mengikut keselesaan anaknda.Makcik setia menunggu jawapan anaknda.

Allahumma bariklaha! – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *