Pelajar UPSI Ungguli Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran di Peringkat Negeri

Oleh: Sholina Osman
26 FEB. 2025

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama institusi berkenaan apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam pelbagai kategori di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri baru-baru ini.

Kenyataan media UPSI memaklumkan, pada pertandingan yang berlangsung di beberapa negeri, Muhammad Haziq Jaafar, pelajar Ijazah Sarjana Muda (ISM) Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, dinobatkan sebagai johan bagi kategori Hafazan 1-10 Juzuk dan Taranum dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak.

Selain itu, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam, pelajar ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, turut meraih tempat pertama bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk dan Tafsir dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan.

Sementara itu, Nur Adleena Faizulnizan berjaya memperoleh tempat ketiga dalam kategori Hafazan 1-30 Juzuk dan Tafsir di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak, manakala Muhammad Aizat Firdaus Ismail meraih tempat ketiga bagi kategori Hafazan 1-20 Juzuk dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Selangor

PENCAPAIAN CEMERLANG ALUMNI

Kejayaan ini turut diserikan dengan pencapaian cemerlang alumni UPSI yang terus mencipta nama di peringkat negeri.

Ummi Radhwa Mohd Zulkifli, alumni UPSI yang dikenali sebagai Anak Kandung Suluh Budiman, dinobatkan sebagai johan Tilawah Perempuan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Johor.

Seorang lagi alumni UPSI, Ratu Dangsari Basri, meraih tempat ketiga dalam kategori Tilawah Perempuan di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Selangor.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut.

“Pencapaian luar biasa ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja melahirkan pendidik berkualiti, tetapi juga generasi yang hebat dalam bidang tilawah dan hafazan Al-Quran.

MEMPERKASA BUDAYA KEILMUAN

“Ini selaras dengan usaha kami dalam memperkasa budaya keilmuan Islam di peringkat universiti,” katanya.

Kata beliau, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar dan bimbingan pensyarah yang berdedikasi.

“UPSI akan terus menyokong serta menyediakan platform terbaik bagi para pelajar untuk mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Al-Quran dan Tilawah.

“Keunggulan alumni kita dalam bidang ini adalah hasil pendidikan yang kukuh dan penerapan nilai-nilai Islam sepanjang tempoh pengajian mereka di UPSI,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *