Jentera kerajaan perlu laksana aktiviti penghayatan isi kandungan Al-Quran – Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
27 FEB. 2026

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar semua pihak, terutamanya jentera kerajaan Negeri Perlis sama ada pentadbiran atau pendidikan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti ke arah pembudayaan dan penghayatan isi kandungan Al-Quran supaya ia meresap di setiap peringkat lapisan masyarakat tanpa terkecuali.

Baginda bertitah, agensi-agensi agama, masjid-masjid, sekolah-sekolah hendaklah memainkan peranan aktif dalam mempromosikan pembelajaran dan penghayatan Al-Quran.

Titah Baginda kerjasama ini dapat memastikan bahawa pendidikan Al-Quran disediakan dengan sistematik dan menyeluruh, merangkumi semua lapisan masyarakat. 

“Saya yakin dengan memberi perhatian dan penekanan sepenuhnya kepada Al-Quran dapat menjadikan rakyat Negeri Perlis mencapai tamadun di bawah lembayung keredaan-Nya kerana sesungguhnya ilmu Al-Quran itu sifatnya sentiasa maju dan berkembang selari dengan peredaran semasa”, titah Baginda lagi.

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi di Dewan Warisan Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan.

Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs). 

MENYEMPURNAKAN SIMBOLIK PERASMIAN

Tuanku Syed Sirajudin berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut dan seterusnya mengurniakan hadiah kepada para pemenang kategori Tilawah Al-Quran (Qari) yang dimenangi oleh Muhammad Anas Abdul Hadi sebagai johan, diikuti naib johan Khalil Khusairi Zainol, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad A’tif Abdullah.

Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang kategori Qariah.

Johan disandang oleh Siti Aishah Md Arif, manakala Nur Adilah Azdi dan Norhusna Mohammad Saleh masing-masing meraih tempat naib johan dan tempat ketiga.

Majlis ini turut menyaksikan pertandingan bagi  kategori Hafazan Al-Quran lelaki yang merangkumi Hafazan Al-Quran 1 hingga 10 Juzuk, Hafazan Al-Quran 1 hingga 20 Juzuk, Hafazan Al-Quran 1 hingga 30 Juzuk dan pengurniaan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori ini telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis. 

BAGI KATEGORI HAFAZAN

Manakala bagi kategori Hafazan Al-Quran (Perempuan) 1 hingga 20 Juzuk dan Hafazan Al-Quran (Perempuan) 1 hingga 30 Juzuk, pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan agar program-program komuniti yang melibatkan pembelajaran dan penghayatan Al-Quran hendaklah diperkukuhkan. 

Baginda juga berharap aktiviti seperti tadarus, kelas tafsir, dan ceramah agama harus dipergiat dan diperluaskan bagi memperkukuh keimanan dan ketaqwaan masyarakat serta mengukuhkan perpaduan ummah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *