

Oleh: Sholina Osman
23 MAC 2025
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah, yang telah meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.
Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan demi keamanan dan keadilan, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan pertumpahan darah dan genosid yang sedang berlaku.
“Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB, dan kembali ke meja rundingan,” kata kenyataan itu.
AKAN TERUS MEMPERHEBAT
Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan OIC, Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini serta memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, serta prinsip kemanusiaan sejagat.
“Serangan kejam ini bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian,” kata kenyataan itu lagi.
la sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan. – JM
