Promosikan karya agung supaya dapat dibekalkan ke sekolah, universiti – PMX

25 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Yayasan Karyawan mempunyai perancangan dan strategi baharu untuk mempromosi karya agung supaya dapat dibekalkan di semua jenis sekolah, di semua universiti awam atau fakulti yang berkaitan.

Beliau berkata, usaha ini boleh diadaptasi dan disegarkan menerusi teknologi kecerdasan buatan dengan semua pihak berkepentingan serta memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa di semua peringkat sekolah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat.

Sebelum itu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan yang diketuai Pengerusinya Datuk A. Aziz Deraman.

“Pertemuan ini telah menghimbau usaha saya dan rakan-rakan seperjuangan yang cintakan pelbagai variasi karya agung dengan mengasaskan Yayasan Karyawan pada tahun 1996,” katanya menerusi perkongsian di FB.

YAYASAN KARYAWAN DITUBUHKAN

Beliau berkata, Yayasan Karyawan ditubuhkan bagi mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia di dalam bahasa Melayu.

“Karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun,” katanya.

Katanya selain usaha menerbitkan Karya Agung Dunia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, malah badan ini juga menjalankan kajian dan penterjemahan ke dalam bahasa Melayu karya-karya agung pilihan daripada tamadun bangsa-bangsa di luar dunia Melayu.

“Antara yang dibincangkan di pertemuan ini ialah berkenaan hala tuju Yayasan Karyawan dalam aspek memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung,” tambah Perdana Menteri. – PM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *