Raja Muda Perlis ketuai Program MAIPs Peduli Khas Sempena Hari Polis ke-218

Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli Khas Sempena Hari Polis
ke-218 pada 25 Mac lalu.

Program ini dianjurkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Repoh, Kangar.

Baginda mendoakan semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati serta mempermudahkan segala urusan anggota PDRM dahulu, sekarang dan masa hadapan beserta ahli keluarga mereka tersayang yang menjalankan tugas masing-masing dengan sepenuh hati, bertanggungjawab dan berintegriti yang tinggi demi negeri Perlis dan negara Malaysia yang tercinta.

TIGA PENERIMA TERPILIH

Dalam program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima terpilih yang disantuni iaitu Sharudin Che Ramadan, 50 dari Kampung Repoh, Mohd Zalisman Jali, 41 dari Kampung Tanjung Gorah, dan Rosni Saad, 73 dari Jalan Pegawai. 

Setiap mereka menerima wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Pihak PDRM diwakili oleh Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Asisten Komisioner Wari Kiew, Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bahan mentah makanan kepada para penerima tersebut.

SINGGAH MENYERAHKAN SUMBANGAN

Pada program yang sama, Raja Muda turut berkenan singgah menyerahkan sumbangan berjumlah RM40,000 daripada MAIPs kepada Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender Perlis, atau lebih dikenali sebagai Rumah Lavender. 

Sumbangan itu diterima oleh Pengerusinya, Tuan Marja Tuan Mat. Rumah Lavender merupakan sebuah organisasi kebajikan yang berpusat di Perlis dan berperanan sebagai pusat transit serta penempatan bagi individu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan serta ibu tunggal. 

Organisasi ini menyediakan perlindungan, sokongan, dan bantuan bagi golongan yang memerlukan, selaras dengan matlamat kebajikan yang diperjuangkan oleh MAIPs. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *