Kementerian Digital ganti peranti mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights

5 APRIL 2025

Kementerian Digital akan menyediakan 100 komputer riba, 100 tablet, 100 telefon pintar dan 500 bank kuasa (power bank) kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang memerlukan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, permohonan peranti ini boleh dibuat melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S. Preakas.

“MyDigital Corporation, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital juga akan bekerjasama rapat dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan pejabat Menteri Besar Selangor untuk menyediakan platform dalam talian bagi memastikan terdapat maklumat yang jelas dan kemaskini tepat pada masanya untuk mangsa,” katanya dalam kenyataan media.

PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

Terdahulu Gobind melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.

Beliau telah dimaklumkan bahawa peranti milik mangsa kebanyakannya hilang atau rosak dalam kejadian itu.

Gobind berkata, pihak Kementerian dan agensinya, akan terus bekerjasama rapat dengan mereka yang terjejas dalam kejadian itu.

MEREKA YANG CEDERA

“Besar harapan kami agar mereka yang cedera dapat pulih dengan selamat, dan mereka yang mengalami kerugian akan menerima bantuan yang diperlukan untuk membantu mereka dalam masa yang sukar ini,” jelasnya.

Gobind juga mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bertungkus lumus membantu mereka yang terjejas dalam kejadian ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *