






Oleh: Sholina Osman
5 APRIL 2025
Kelab Golf Putra (KGP) Perlis merampas kembali kejuaraan merebut Piala Syed Sirajuddin Areeb Putra 2025 bagi kategori berpasukan apabila berjaya mengutip 552 mata.
Sekaligus berjaya mengenepikan pasukan Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dengan 551 mata pada perlawanan yang berlangsung di lapangan Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, Kangar, Khamis lalu.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Presiden KGP Perlis bersama-sama putera Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengahari dan Penyampaian Hadiah yang diadakan di rumah kelab berkenaan selepas pertandingan berakhir.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail selaku Naib Presiden 1 KGP Perlis dan
Yang diPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman serta Ketua Penyelaras Pertandingan, Hairizar Hakimi.
DIANJURKAN SECARA BERSAMA
Kejohanan ini telah dianjurkan secara bersama oleh KGP Perlis dengan PPKL sejak tahun 1992 lagi.
Ia di atas ilham dan inisiatif Tuanku Syed Faizuddin Putra yang ketika itu merupakan salah seorang ahli jawatankuasa PPKL menerajui yang potfolio Belia dan Sukan.
Kejohanan itu berterusan dilangsungkan sehingga ke hari ini dengan jayanya sempena anak Perlis di perantauan ‘Balik Kampung’ untuk berhari raya.
Tambah istimewa lagi apabila kali ini diadakan sempena meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis pada 17 April 2025 yang akan datang ini serta kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
MENDAPAT SUMBANGAN TAJAAN
Program pada kali ini juga mendapat sumbangan tajaan daripada pihak Yayasan Pelindung Dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia.
Penganjuran ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam sukan golf, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan anak jati Perlis, baik yang menetap di negeri ini mahupun yang berada di perantauan khususnya di Lembah Klang.
Syed Sirajuddin Areeb Putra yang bakal menyambut Hari Ulangtahun yang ke-16 pada 12 April 2025 ini memulakan dengan sesi memotong kek hari keputeraan dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah utama untuk para pemenang pelbagai kategori.
Kategori individu diraih oleh Rahizam Ramli (40 mata) selaku Johan, diikuti oleh Nordin Osman (39 mata) sebagai Naib Johan, dan tempat ketiga diungguli oleh Airil Rizman Zaharin (38 mata OCB). – JM
