Pembeli online harumanis perlu hati-hati elak ditipu “scammer”

Oleh: Sholina Osman
21 APRIL 2025

Harumanis bukan calang-calang mangga, disebabkan ia telah memasuki taraf buah “emas” maka sudah pasti ia menjadi sasaran “scammer”.

Kalangan “scammer” ini dikatakan melakukan pelbagai taktik promosi di platform media sosial bagi menarik perhatian peminat mangga ini.

Ceritanya mudah, dipaparkan jualan online harumanis dari Perlis dengan harga jauh lebih murah dari pasaran dan tidak masuk akal.

“Scammer” ini hanya menunggu pembeli masuk “perangkap” dengan menggunakan nama harumanis, buah ikon Perlis ini.

ADUAN YANG DITERIMA

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Mohd Anzara Azizan ketika memberi taklimat kepada media berikutan aduan yang diterima berkaitan penipuan jualan Harumanis Tipu yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, pihaknya sendiri pernah menyamar sebagai pembeli online.

“Memang hanguslah duit RM50, buah yang dijanjikan langsung tidak sampai, yang menjualnya pun tidak dapat dikesan,” katanya.

“Bayangkan seorang “scammer” tipu setiap pembeli sebanyak RM50, jika pembeli ada 200 orang, seronoklah dia sebab biarkan dia “untung atas angin”,” tambah Mohd Anzara.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pembeli di luar jangan sesekali terperangkap dengan “scammer” yang menjanjikan harga harumanis jauh murah dari pasaran sebenar.

“Belilah dari agen yang boleh dipercayai dari negeri ini, harganya memang mengikut gred dan jika berlaku sebarang kerosakan akan diganti,” katanya.

MELETAKKAN SEBELAH MENYEBELAH

Selain itu katanya, ada juga peniaga gerai buah-buahan yang menggunakan taktik meletakkan sebelah menyebelah antara mangga Harumanis dan mangga dari Thailand.

Katanya, pelanggan yang tidak kenal harumanis akan mudah tertipu.

“Dalam usaha advokasi, FAMA telah meletakkan “bunting” Jom Kenali Harumanis di setiap gerai mangga di sepanjang laluan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun supaya pembeli tidak mudah tertipu,” katanya.

Mohd Anzara berkata, sebaiknya setiap pembeli dari luar khususnya gunakan masa beberapa minit membaca penerangan mangga harumanis bagi mengelak ditipu.

BAGI MENGGABURI PEMBELI

Selain itu katanya, ada juga peniaga yang menggunakan nama “Adik Harumanis” bagi menggaburi pembeli dengan harga yang sangat rendah dari harumanis sebenar.

“Mangga ini sebenarnya jenis “Nam Man” yang dibawa dari Thailand cuba disepadankan konon ia mangga harumanis, ” katanya.

Jelas Mohd Anzara pembeli kena hati-hati supaya tidak terperangkap “scammer” yang menjual online atau peniaga yang mengambil kesempatan atas nama harumanis.

Tambahnya, agensi seperti FAMA juga ada menjual harumanis menerusi AgroBazaar Online dan banyak lagi ladang di Perlis yang termasuk dalam senarai ladang Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang boleh diyakini kualitinya.- JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *