






Oleh: Sholina Osman
25 APRIL 2025
Lebih 2,000 warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terdiri dari barisan pengurusan tertinggi, kakitangan serta pelajar hadir pada Majlis Riang Ria Raya 2025 universiti berkenaan malam tadi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat ke majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Sufri Mhd Zin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Dr. Zaliman dalam ucapan aluan berkata, UniMAP telah memilih tema ‘Citra Nusantara’ bagi menyerlahkan kepelbagaian budaya serta keunikan kulinari masyarakat Malaysia dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
MERAIKAN KEKAYAAN WARISAN
“Tema ini bukan sahaja meraikan kekayaan warisan pelbagai negeri, malah melambangkan semangat perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan latar belakang dalam suasana penuh harmoni, berlandaskan nilai-nilai murni serta semangat Aidilfitri,” kata beliau.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut, disusuli dengan persembahan angklung oleh para pelajar ko-kurikulum UniMAP serta penyampaian penghargaan kepada tujuh penaja utama.
Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke setiap 18 reruai makanan yang menyajikan pelbagai hidangan berkonsepkan Nusantara untuk dinikmati oleh seluruh warga UniMAP dan tetamu jemputan.
Majlis pada tengahari itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi terkenal tanah air iaitu Haziq Rosebi dan Wany Hasrita. – JM
