Fadhlina arah segera baik pulih asrama SMK Tinggi Setapak yang terbakar

Oleh: Sholina Osman
29 APRIL 2025

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
mengarahkan supaya kerja baik pulih dilaksanakan dengan segera susulan insiden kebakaran membabitkan sebuah blok bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, semalam.

Beliau melahirkan rasa lega apabila mengetahui tiada murid atau guru yang tercedera akibat insiden tersebut.

“Semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi hantaran di FB.

MELIHAT KEADAAN BLOK

Beliau melakukan tinjauan melihat keadaan blok asrama yang terbakar di sekolah berkenaan hari ini.

Fadhlina berkata, buat sementara, murid terjejas akan ditempatkan di asrama lain yang berdekatan.

Beliau berkata, buku dan kelengkapan sekolah yang musnah akan segera digantikan.

TIDAK AKAN DIBIARKAN

“Saya tekankan, anak-anak ini tidak akan dibiarkan tercicir pembelajaran mereka,” katanya.

Katanya, guru yang terjejas juga akan diberi bantuan segera untuk meringankan beban mereka.

“Saya minta pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) untuk menyelaras setiap keperluan yang diperlukan oleh murid dan guru yang terjejas,” tambahnya.

Beliau akan pastikan kesejahteraan dan kebajikan murid dan guru yang terjejas akan sentiasa dipelihara.

“Terima kasih kepada JPWPKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak yang telah sama-sama membantu menangani kejadian ini,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *