PMX telefon rakan sejawat dari Kemboja, Singapura berbincang kepentingan serantau

30 APRIL 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung secara berasingan melalui telefon dengan rakan sejawat dari Kemboja, Hun Manet dan dari Singapura, Lawrence Wong, untuk berbincang terkait hal-hal berkepentingan serantau.

Dalam perbualan itu, beliau memaklumkan hasil pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, dan Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar di Bangkok baru-baru ini.

Kedua-dua Perdana Menteri menyuarakan sokongan dan menyambut baik pertemuan ini, yang dilihat sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai yang berkekalan di Myanmar.

UNTUK MENERUSKAN DIALOG

“Mereka turut menyokong usaha Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, untuk meneruskan dialog dengan semua pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan petugas kemanusiaan dan membawa keamanan kepada rakyat Myanmar,” katanya menerusi perkongsian di FB.

Beliau berkata, mereka turut bicarakan perkembangan perdagangan serantau, khususnya berkaitan tarif balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

“Saya memaklumkan bahawa Malaysia telah menghantar wakil melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara,” katanya.

HUBUNGAN DUA HALA

Pada masa sama, katanya, Malaysia mengambil kesempatan untuk memohon AS memberikan ruang kepada semua negara ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing.

Malaysia turut menyuarakan pendirian kohesif ASEAN dalam isu tarif balas ini, dan menggesa AS melihat ASEAN sebagai satu ketumbukan dalam pertimbangannya berhubung isu tarif dan dasar-dasar perdagangan yang lain.

“Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, Insya-Allah,” tambahnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *