Hentikan pembinaan kafe, selamatkan Gua Cenderawasih, Geopark Perlis sebelum terlambat

Oleh: Sholina Osman
4 MEI 2025

Selamatkan Gua Cenderawasih atau sebelumnya dikenali sebagai Gua Sami yang terletak di Bukit Lagi Kangar, Perlis sebelum terlambat.

Hentikan segera pembinaan kafe di gua berkenaan sebelum ekosistem gua ini “dibinasakan” oleh tangan manusia yang tidak menghargai alam semulajadi ciptaan Tuhan.

“Banyak lagi tempat boleh dijadikan sebagai kafe kopi tetapi kenapa gua yang diiktiraf sebagai Geopark Perlis ini dibiar ‘dicabul’ begitu sahaja,” itulah gesaan pempengaruh media sosial, Datuk Syed Azuan Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai DSA.

DSA telah mengadakan sidang media berhubung isu ‘Gua Sami Dicerobohi’ di hadapan gua berkenaan, petang Jumaat lalu.

USAHA PEMULIHARAAN GUA

Jelasnya apa yang dikesalkan pada sidang media pada 30 April lalu oleh kerajaan negeri bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak menyentuh usaha pemuliharaan gua ini sebagai Geopark Perlis.

DSA berkata, alasan dinding gua dicat oleh pengusaha kafe ini adalah untuk menutup vandalisme.

“Dikatakan juga ia adalah cat kapur tetap ia sebenarnya ia telah merosakkan fosil yang selama ini terjaga di gua yang berusia 400 juta tahun,” katanya.

Katanya, sekalipun didakwa cat kapur boleh dihapuskan dengan mudah tetapi untuk membuangnya juga perlu guna “water jet” yang sudah pasti akan merosakkan fosil pada dinding gua,” katanya.

MENGANGGU HABITAT GUA

Beliau berkata, selain itu pembinaan kafe ini juga menganggu habitat gua termasuk kelawar.

Jelas DSA, beliau juga telah menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM) Kedah/Perlis/Pulau Pinang untuk mengesahkan berhubung perbuatan mengecat gua.

“Setelah dimaklumkan ia sebagai satu kesalahan jenayah maka saya terus membuat laporan polis pada Khamis (1 Mei 2025) berhubung pengubahsuaian terhadap gua ini termasuk mengecat dan pembinaan serta pandangan saya secara lengkap,” kata DSA.

DSA juga membuat surat bantahan yang disertakan bersama laporan polis untuk diserahkan kepada Pengarah JMGM Kedah/Perlis/Pulau Pinang pada Ahad (4 Mei 2025) kerana sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan “pencabulan” gua ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *