Lebih 4 juta kampit BPT diagih ke seluruh negara sehingga 5 Mei lalu – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
12 MEI 2025

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lebih daripada empat juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi telah diagihkan ke seluruh negara sehingga 5 Mei 2025.

Bagaimanapun kata Mohamad daripada jumlah ini jelas menunjukkan sambutan daripada pengguna masih belum memadai.

“Inilah cabaran kita hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan, belum tentu diterima,” katanya dalam hantaran di FB.

Berikutan itu katanya bagi langkah memperbaiki keadaan, had pembelian BPT telah ditingkatkan daripada dua kampit kepada lima kampit bagi setiap transaksi.

STOK BPT BERSUBSIDI

“Kita mahu memastikan stok BPT bersubsidi ini tidaklah bertapuk dan akhirnya dimakan bubuk,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan kempen nasional bertemakan “Saya Pilih Beras Tempatan” mulai bulan hadapan.

Katanya, kempen ini bukan sekadar kempen komunikasi, tetapi gerakan untuk mengubah cara fikir rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia bertujuan menyedarkan pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah membawa nilai ekonomi dan strategik yang besar, membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik, dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan kita kepada import. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *