





17 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi ini berjaya memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia serta membuka ruang kerjasama strategik baharu.
Beliau berkata ia juga dapat memperluas peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.
Malah katanya, pertemuan bersama Presiden Vladimir Putin membuka potensi perdagangan, pelaburan, pelancongan, di samping menyimpulkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia.
Beliau turut nyatakan dukungan terhadap kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam.
“Saya menghargai hubungan persahatan yang terjalin dengan Presiden Putin,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu Perdana Menteri mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi ke Rusia.
Perdana Menteri berkata beliau juga membangkitkan isu MH17 di hadapan Presiden Putin.
“Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kebenaran mesti ditegakkan demi keadilan buat mangsa serta keluarga mereka,” kata beliau.
Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Mikhail Mishustin, kata Anwar mereka bincang kerjasama dalam bidang pertanian termasuk koko dan minyak sawit, serta usaha menyelesaikan isu-isu yang membantutkan usaha dagangan dua hala.
“Sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Rusia membuka potensi kerjasama dalam pelbagai sektor daripada produk berasaskan sawit, industri kimia dan perabot, sehinggalah teknologi digital dan kecerdasan buatan. Minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan,” katanya.
Lawatan ini tidak bererti Malaysia berpihak kepada mana-mana blok kuasa.
Hubungan dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan kita dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.
Malaysia berhak menentukan hala tuju secara bebas dan berprinsip demi kepentingan rakyat kita.
“Alhamdulillah, delegasi Malaysia membawa pulang pengalaman yang amat berharga dari Rusia, sama ada dalam memperkukuh hubungan dua hala dan merintis kerjasama baharu mahupun penghayatan sejarah, kekayaan budaya serta semangat ketahanan rakyatnya,” katanya. – JM
