






17 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke KazanForum 2025 yang menjadi medan penting untuk menyuarakan keyakinan bahawa dunia Islam harus bangkit sebagai kekuatan bersama yang membawa harapan dan penyelesaian kepada dunia yang semakin berpecah.
Di bumi Tatarstan ini, beliau temui semangat kental, keteguhan dan keberanian rakyat Tatar yang tidak pernah tunduk walau dilanda ujian seperti pernah digambarkan Leo Tolstoy dalam karyanya Haji Murat.
“Saya lihat semangat itu terzahir dalam forum ini daripada komitmen pimpinan seperti Rais Rustam Minnikhanov, hingga ke usaha konkrit membina sinergi antara negara Islam dan Rusia dalam bidang ekonomi, teknologi dan pembangunan insan,” katanya dalam hantaran di FB.
RUANG KERJASAMA INI
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik ruang kerjasama ini dan bersedia untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan bermakna.
“Dalam ucaptama, saya tegaskan bahawa dunia Islam perlu meneroka potensi besar industri halal dan kewangan Islam secara serius sebagai sektor ekonomi strategik,” katanya.
Beliau berkata, nilai industri halal global kini melebihi AS$3 trilion, namun potensi ini belum diteroka sepenuhnya.
KEPENTINGAN PERALIHAN TENAGA
“Saya turut gariskan kepentingan peralihan tenaga dan transformasi digital sebagai keutamaan bersama, umpamanya inisiatif seperti ASEAN Power Grid yang menghubungkan tenaga merentasi sempadan geografi,” kata beliau.
Usaha ini katanya mencerminkan semangat muafakat serantau yang boleh dicontohi dunia Islam.
Bagaimanapun tambahnya segala kemajuan material mesti disulami nilai dan akhlak.
Dalam dunia yang semakin pincang akibat hipokrasi dan sikap pilih kasih terhadap penderitaan manusia, kita perlu kembali kepada asas yakni ihsan, kemanusiaan, keadilan dan kasih sayang.
BAGAIMANA KEMANUSIAAN DINAFIKAN
Gaza adalah contoh nyata bagaimana kemanusiaan dinafikan hanya kerana geopolitik dan kuasa.
Saya hargai sokongan Presiden Putin dan Rais Rustam dalam menjadikan KazanForum platform dialog yang tulen dan pragmatik.
“Saya juga menyeru agar suara anak muda diangkat dan diberi pertimbangan serius dalam membentuk masa depan kerana mereka yang bakal meneruskan perjuangan kita,” katanya. – JM
