Jadikan pameran aset termoden di LIMA’2025 sebagai wadah tingkat pertahanan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2025.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dari sudut keselamatan dan pertahanan, LIMA’2025 dapat dijadikan wadah kepada pameran aset-aset termoden dan canggih bagi domain maritim dan aeroangkasa.

Peluang ini harusnya dioptimumkan oleh para ‘pemegang taruh’ berkenaan bagi memodenkan
keupayaan dan kapabiliti angkatan masing-masing bagi menghadapi ancaman masa kini dan di masa hadapan.

Tambah mustahak pada ketika ini dari perspektif strategik ialah persekitaran keselamatan dan geo-strategik yang tidak menentu yakni ‘turbulent’ dan dinamik, kewujudan pelbagai bentuk ancaman seperti ketidaktentuan hubungan kuasa-kuasa besar, kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, ancaman keselamatan bukan tradisional seperti keganasan dan ekstremisme, ancaman siber, ancaman keselamatan maritim, bencana alam dan sebagainya yang melibatkan Implikasi terhadap keselamatan negara dan serantau.

LAWATAN KE PAMERAN MARITIM

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’2025) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi hari ini (21 Mei 2025).

Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, tema LIMA’2025, iaitu “Innovate Today, Thrive Tomorrow” memang tepat serta menekankan kepentingan inovasi dalam meningkatkan daya saing industri.

PERNIAGAAN SERTA PENYERTAAN

Para usahawan dan perniagaan serta penyertaan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam kedua-dua sektor berkenaan perlu ditingkatkan.

Tambah Tuanku Raja Muda, sejak penubuhannya, LIMA’2025 merupakan antara pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik dan ia menyediakan landasan terbaik untuk menjamin keselamatan dan pertahanan negara.

Sebagai edisi ke-17 dianjurkan oleh Malaysia, LIMA juga kekal menyediakan platform untuk pelbagai sektor termasuk pertahanan, komersial dan industri, dengan mengfokuskan kepada inovasi dan teknologi dalam bidang maritim dan aeroangkasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *