Tentera Darat Malaysia terus fokus kukuhkan organisasi – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
11 JUN 2025

Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memberikan fokus dalam aspek kesiagaan dan pengukuhan organisasinya.

Malah TDM juga akan membangun dan meningkatkan keupayaannya agar sejajar dengan perubahan persekitaran semasa khususnya dalam aspek perkembangan teknologi dan siber.

Agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga akan turut menjadi keutamaan TDM dengan menjaga kelestarian hidup dan kebajikan warga, sudah pasti mereka akan dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada masa yang sama TDM juga akan terus mengukuhkan komitmen untuk membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan ‘CIMIC’ iaitu dengan memperlengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset yang bersesuaian.

MEMBUAT PERANCANGAN AWAL

Ini adalah untuk menghadapi bencana, membuat perancangan awal atur gerak serta mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi yang lain.

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan Perbarisan Pelancaran Latihan Sukarela Rejimen 504 AW Tahun 2025 yang diadakan di pekarangan C-MART Kompleks Tok Arau, Kota Raja, Arau.

Seramai tiga pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat Sukarela Askar Wataniah dari Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) telah terlibat dalam perbarisan tersebut.

Penyertaan mereka mencerminkan tahap kesiapsiagaan serta kesungguhan untuk mengharungi latihan sebagai anggota terlatih, melambangkan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab mempertahankan negara sebagai benteng kedua pertahanan tanah air.

KOMANDER REJIMEN 504

Keberangkatan tiba Raja Muda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, disambut oleh Timbalan Komander rejimen tersebut, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan simulasi operasi sekatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Demonstrasi yang mendebarkan itu merangkumi elemen Tempur Tanpa Senjata (TTS), aksi kejar-mengejar menggunakan motosikal jenis ‘Scrambler’ serta ketibaan bantuan taktikal menaiki ‘Land Rover’ yang membawa kepada penangkapan kumpulan penyeludup terbabit.

Sempena acara tersebut juga, Baginda turut berkenan memakaikan pangkat kepada tiga orang anggota tetap.

YANG DINAIKKAN PANGKAT

Mendahului senarai, Staf Sarjan Ahmad Zaid Abdul Shukor yang dinaikkan pangkat Pegawai Waran II, Lans Koperal Muhamad Fadzly Naim Abdullah dinaikkan pangkat Koperal, dan Prebet Mohd Yusri Yet dinaikkan pangkat Lans Koperal.

Laungan “Gempur Wira!” sebanyak 3 kali bergema megah, menjadi simbol keberanian serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan anggota Rejimen 504 AW.

Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat rerurai pameran senjata yang dikendalikan bersama oleh anggota dari Batalion Keenam Askar Melayu Diraja (6 RAMD).

Acara ini bukan sahaja memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan disiplin anggota, tetapi turut menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan anggota sukarela serta masyarakat awam di negeri Perlis secara amnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *