Wartawan, pengamal media perlu menjaga kesihatan diri – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
14 JUN 2025

(SOROTAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2025)

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan kalangan pengamal media supaya menjaga kesihatan diri dengan melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan diri sihat semasa melaksanakan tugas.

Beliau berkata ini kerana terdapat di kalangan pengamal media sampai melupakan kesihatan diri bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Saya ingin memberikan peringatan kepada supaya menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk saringan jantung,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 dan juga Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di di Hotel Seri Pacific, malam tadi.

MELIBATKAN 14 PERSATUAN

Ia melibatkan 14 persatuan seluruh negara yang bergabung di bawah GKMM termasuk Persatuan Wartawan Perlis (PWP) yang diwakili Presidennya, Syed Azlan Sayid Hizar dan Sholina Osman.

Fahmi jugq menyeru semua pihak untuk menghargai tugas media yang sentiasa komited memberikan pelaporan yang tepat dan cepat kepada masyarakat.

“Satu perkara yang saya harap melalui HAWANA tahun ini, saya harap lebih ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami dan menghargai jasa bakti pengorbanan rakan-rakan media,” katanya.

AGAR MEMAHAMI KEUPAYAAN

Beliau turut meminta organisasi dan pengamal media agar memahami keupayaan serta sempadan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Kita kena faham tentang penggunaan AI dan saya tidak percaya waktu ini yang AI mampu menggantikan wartawan tetapi para wartawan perlu memahami bagaimana AI boleh membantu kerja-kerja kita,” katanya.

Fahmi juga menyarankan GKMM dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) bekerjasama bagi memberi kemahiran AI untuk pengamal media.

Sambutan HAWANA 2025 yang membawa tema ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, ini berlangsung selama tiga hari mulai dari 13 hingga 15 Jun ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *