






Oleh: Sholina Osman
15 JUN 2025
RHB Islamic Bank Berhad menyampaikan sumbangan zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan institusi itu terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf di negeri Perlis.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM350,000 berbanding RM650,000 pada tahun lepas, sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi pernah disalurkan bank itu setakat ini.
PROGRAM HIJRAH MINDA
Penyerahan sumbangan tersebut telah dipersembahkan oleh Datuk Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Masjid Al-Muqorrobin Behor Empiang, Kangar sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-16 bagi tahun 2025.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Terdahulu Raja Muda dan Raja Puan Muda berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 300 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Behor Empiang, Abi, Nesam dan Kechor bernilai penuh sebanyak RM210,000.
Masing-masing menerima RM700 daripada MAIPs. – JM
