





Wartawan JM
17 JUN 2025
Malaysia bersama negara-negara sahabat ASEAN kekal komited untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak tiga kali ganda mencecah 11,000 GW menjelang 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia seiringan dengan usaha negara untuk mencapai wawasan karbon sifar bersih.
“Dengan keterjaminan tenaga menjadi tonggak kebangkitan ekonomi Asia, rantau ini memerlukan dasar yang menyeluruh bagi mengurangkan pelepasan karbon agar peralihan kepada tenaga boleh baharu dapat dilaksana dengan lebih tersusun dan mampan,” katanya dalam hantaran di FB.
DENGAN PERTEMUAN TERTUTUP
Terdahulu Perdana Menteri mengadakan dengan pertemuan tertutup bersama ketua-ketua syarikat tenaga terkemuka dunia seperti PETRONAS, OPEC, Aramco, TotalEnergies, ENI, S&P Global dan PTTEP di Kuala Lumpur.
Beliau kemudiannya menyampaikan ucaptama di Majlis Perasmian Energy Asia 2025.
Beliau berkata, kehadiran sosok-sosok tersohor dalam industri minyak, gas dan teknologi dunia dalam majlis ini membuktikan bahawa rantau ASEAN merupakan kuasa yang mampu memacu pertumbuhan berasaskan sikap dan pendirian yang lebih realistik terhadap tenaga.
TURUT BERTEMU DENGAN
Dalam kesempatan ini, beliau turut bertemu dengan Haitham Al Ghais, Setiausaha Agung OPEC, Patrick Pouyanné, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, dan
Claudio Descalzi, Ketua Pegawai Eksekutif ENI.
Jelas beliau kehadiran gergasi-gergasi industri ini mencerminkan keyakinan dunia terhadap kepakaran serta keupayaan PETRONAS untuk menerajui ikhtiar perolehan tenaga di Asia.
Langkah PETRONAS menganjurkan Energy Asia merupakan satu ikhtiar yang sangat diperlukan terutamanya dalam suasana ketidaktentuan akibat perkembangan tarif di Amerika Syarikat dan ketegangan di Timur Tengah susulan serangan ganas Israel terhadap Iran. – JM
