






Oleh: Sholina Osman
27 JUN 2025
Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis Kali yang ke-tiga dan terakhir sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, telah berlangsung dengan penuh adat istiadat di Balairung Seri, Istana Arau pada petang semalam.
Raja Perlis berkenan berangkat menyempurnakan istiadat tersebut, diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda putera baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
SERAMAI 87 INDIVIDU
Dalam majlis tersebut, seramai 87 individu telah dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan cemerlang mereka kepada negeri dan negara.
Anugerah yang dikurniakan Baginda termasuklah Ahli Mahkota Perlis (AMP), Pingat Mahkota Perlis (PMP), Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Jasa Baik (PJB) dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).
Antara penerimanya pada sesi kali ini adalah Ketua Jurulatih Angkat Berat Negeri Perlis yang pernah bertanding di peringkat Sukan Komanwel, Mohd Faiz Musa (PMP); pemuzik biola veteran, Chik Mat Long (PJK); atlet sukan berbasikal negara, Anis Amira Rosidi (PJK); dan pelakon, Nur Fasha Sandha Hassan (PJB). – JM
