






Oleh: Sholina Osman
27 JUN 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar para chef dan penggiat kulinari tempatan berusaha mengabadikan rasa tradisi negeri Perlis dalam setiap hidangan yang disajikan, agar ia tampil bukan sahaja lebih bernilai bahkan membentuk identiti tersendiri yang boleh dibanggakan.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Café HarumanGo di Mata Ayer, Perlis, dalam sebuah program santapan eksklusif yang menampilkan gabungan kreativiti kulinari dan warisan tempatan baru-baru ini.
Titah Baginda, ‘Citarasa Perlis bukan sahaja unik dan lazat, malah turut mengandungi nilai khasiat yang tinggi hasil penggunaan pelbagai jenis herba dan bahan semula jadi yang lazimnya digunakan dalam masakan tradisional.
SEKADAR MEMIKAT SELERA
Sebagai contoh, hidangan Nasi Ulam Perlis yang kaya dengan ulam-ulaman dan ramuan segar bukan sekadar memikat selera, bahkan menyumbang kepada gaya pemakanan sihat yang patut dipromosikan dengan lebih luas’.
Keberangkatan Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan disambut oleh pemilik HarumanGo yang juga pengasas rangkaian Caffè Diem, Datuk Rick Cheng.
Istimewanya majlis tersebut ialah persembahan hidangan eksklusif hasil gandingan dua chef undangan iaitu Chef Lee Zhi Xi, pengasas restoran Eat and Cook & BarKar KL yang tersenarai dalam Michelin Selected 2025, dan Chef Paul Cheng dari Caffè Diem yang kini sedang melanjutkan pengajian beliau di Paris.
RASA AUTENTIK PERLIS
Kedua-dua mereka mempersembahkan hidangan yang menggabungkan teknik moden dengan rasa autentik Perlis, memberi nafas baharu kepada resipi-resipi warisan negeri.
Majlis dimulakan dengan sajian pembuka berupa teh istimewa hasil adunan bunga elder (elderflower) dan kombucha Earl Grey yang diperam secara khas oleh pasukan Caffè Diem, sebagai simbol penghormatan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Perlis.
Set hidangan diteruskan dengan rangkaian menu kreatif berasaskan bahan-bahan tempatan seperti pekasam, daun cekur, jantung pisang, ikan bilis, udang, ulam raja dan buah Harumanis yang sinonim dengan Perlis.
YANG MENCURI TUMPUAN
Antara sajian yang mencuri tumpuan termasuk Mini Pekasam Nasi Krispi, Serunding Ayam Daun Cekur, Kuntuman Jantung Pisang & Ikan Bilis dalam Kon, roti sourdough dan croissant bersama mentega pekasam & Harumanis, Ikan Salai dan Harumanis dengan Emulsi Daun Pisang, Udang bersama Kuah Kari Udang & Harumanis serta Minyak Bunga Kantan, serta Rendang Tulang Rusuk Istimewa bersama Nasi Ulam dalam Periuk Tanah.
Pencuci mulut berupa Harumanis Bakar bersama Ais Krim Pulut & Kelapa, serta Coklat Petit Fours dan Ais Krim Harumanis melengkapkan pengalaman gastronomi yang unik dan berkelas tinggi.
WARISAN KULINARI PERLIS
Raja Muda turut menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat dalam menterjemahkan warisan kulinari Perlis ke dalam bentuk persembahan yang segar, moden dan bertaraf antarabangsa.
Usaha sebegini bukan sahaja dapat memperluaskan apresiasi terhadap makanan tradisional, tetapi juga memperkukuh kedudukan citarasa Perlis di persada pelancongan dan hospitaliti negara.
Untuk rekod, Raja Muda dan Raja Puan Muda sejak tahun 2010 lagi telah mengambil inisiatif sendiri memperkenalkan negeri ini melalui Promosi Masakan Perlis menjelajah lima benua, merentasi 38 negara dan 65 bandar serta disajikan di 112 buah restoran di seluruh dunia. – JM
