Raja Muda lancar Kempen Perlis Berzikir dengan serahan gegantung bertema “Sunnah Ketika Makan”

Oleh: Sholina Osman
29 JUN 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Kempen Perlis Berzikir dengan penyerahan gegantung bertemakan “Sunnah Ketika Makan” bertempat di Warung 2 Ringgit, Simpang Sanglang.

Kempen yang merupakan inisiatif bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis itu bertujuan menggalakkan masyarakat agar sentiasa mengingati Allah melalui pendekatan mesra rakyat seperti pemasangan gegantung berunsur nasihat, penyerahan risalah kecil, serta bahan-bahan bacaan zikir harian dan doa khusus untuk diamalkan di tempat awam.

Penyerahan gegantung berkenaan telah diserahkan kepada Razali Darus, pengusaha Warung 2 Ringgit yang juga merupakan usahawan bimbingan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di bawah program pembangunan ekonomi asnaf.

PERNIAGAAN MAKANAN BAJET

Razali menjalankan perniagaan makanan bajet yang berteraskan kebajikan, menawarkan hidangan mampu milik kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada sumbangan sosialnya kepada komuniti.

Majlis ringkas tersebut diadakan sempena Program MAIPs Peduli yang diterajui sendiri oleh Tuanku Raja Muda.

Turut mengiringi Baginda dalam program berkenaan ialah anakanda Baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

KUMPULAN KAYUHAN “TTG”

Tuanku Raja Muda bersama kumpulan Kayuhan “TTG” turut singgah menziarahi tiga buah rumah asnaf terpilih, dengan setiap rumah menerima sumbangan wang tunai RM700.

Antara asnaf yang menerima manfaat pada edisi kali ini ialah Ramli Hashim, 65 dari Kampung Permatang Kersik, Sanglang, Rohana Mustafa, 57 dari Kampung Pauh, Sanglang, dan Che Soom Man, 73 dari Kampung Titi Tok Pulau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menzahirkan sokongan sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2025 yang kini disambung ke tahun 2026, agar seluruh warga Perlis memainkan peranan menjayakan aspirasi negeri.

MENGGALAKKAN AMALAN KEBERSIHAN

Menurut beliau, MAIPs menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menggalakkan amalan kebersihan dan layanan baik oleh para peniaga makanan, seiring dengan penekanan terhadap ‘Perlis Hospitality’ yang sering dititahkan oleh Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

“Usaha seperti yang ditunjukkan oleh Warung 2 Ringgit wajar dijadikan contoh, bukan sahaja kerana penyediaan makanan yang lazat dengan rasa tempatan, tetapi juga kerana mampu ditawarkan pada harga murah dan kompetitif,” ujar beliau.

Kempen Perlis Berzikir ini diharap dapat menjadi platform dakwah bil hal yang membentuk persekitaran masyarakat yang sentiasa hidup dengan zikrullah dalam kehidupan seharian. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *