



Wartawan JM
30 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkap kembali sejarah Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah Al-Mukarramah ke Madinatul Munawwarah adalah sebuah peristiwa agung yang sarat dengan hikmah dan pengajaran.
Beliau berkata, Hijrah tersebut bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi mencerminkan keyakinan yang utuh, akhlak yang terpuji, kebijaksanaan, kepercayaan serta kesetiaan yang mendalam, hatta nilai-nilai ini menjadi asas pembentukan sebuah masyarakat yang inklusif dan harmoni yang dibina berteraskan iman dan nilai-nilai murni.
“Saya turut menyentuh pandangan tokoh pemikir tersohor, Almarhum Ismail Al-Faruqi, yang menekankan bahawa kejayaan sesebuah masyarakat bergantung kepada kebijaksanaan dalam merencana proses pembangunan serta pengukuhan struktur sosialnya,” katanya ketika berucap menghadiri Perjumpaan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini (30 Jun).
Jelas Perdana Menteri adalah amat penting untuk kita memahami secara mendalam sistem perlembagaan, pentadbiran dan kehakiman negara yakni pegangan kepada fakta yang sahih dan pemahaman yang jitu mampu mengelakkan kekeliruan serta salah faham yang boleh menggugat kestabilan negara dan keharmonian masyarakat. – JM
