





Oleh: Sholina Osman
1 JULAI 2025
Program-program yang dianjurkan secara tahunan di Negeri Perlis bermula tahun 2026 nanti wajar dinaiktaraf dan diperkasakan agar mencapai tahap tertinggi, termasuk ke peringkat antarabangsa.
Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan profil negeri, malah berpotensi besar dalam merancakkan ekonomi tempatan melalui pendidikan, agama, pelancongan, pelaburan dan juga kerjasama global.
Dengan sokongan dan kerjasama erat daripada para pemain industri khususnya dalam sektor pendidikan, agama, pelancongan, sukan, kebudayaan, dan ekonomi digital perlu merangka strategi yang lebih berani, proaktif dan berimpak tinggi.
FASILITI DAN PRASARANA
Antara langkah penting adalah dengan memperkukuh promosi serta mempertingkatkan fasiliti dan prasarana sedia ada agar dapat menarik perhatian penganjur-penganjur utama program berprestij sekurang-kurangnya di peringkat serantau terlebih dahulu.
Dengan perancangan yang tersusun dan sokongan semua pihak berkepentingan, Perlis mampu melonjak sebagai destinasi pilihan baharu bagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa yang mampu memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta membuka lebih banyak peluang pembangunan masa hadapan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran ‘Perlis Food Promotion’ berupa ‘Kurma Daging Perlis’ di The Village House Singgahsana Resort, Santubong, Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Turut berangkat adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera dan puteri Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
OLEH RESORT BERKENAAN
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku ke program yang dianjurkan oleh resort berkenaan dengan kerjasama YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Smart Leisure Travels itu disambut oleh pemilik The Village House iaitu Donald Tan dan juga Marina Tan.
Menurut kenyataan tersebut, The Village House akan menjadikan Kurma Daging Perlis sebagai salah satu hidangan utama yang ditawarkan kepada para tetamu, termasuk pelancong tempatan dan antarabangsa untuk tempoh sebulan.
Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul Adwiyah Hj Md Yusoh, serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young.
DESTINASI PERCUTIAN BUTIK
Terletak di tengah-tengah keindahan semula jadi Kampung Santubong, The Village House merupakan destinasi percutian butik yang mendamaikan, sesuai untuk mereka yang mendambakan gabungan kehijauan alam, warisan budaya dan ketenangan yang menyeluruh.
Resort ini menampilkan seni bina tradisional disulam dengan elemen moden, kolam renang yang menenangkan, hiasan dalaman berinspirasikan budaya tempatan, serta layanan mesra.
Dengan jumlah bilik yang terhad, The Village House juga menawarkan pengalaman percutian eksklusif dan peribadi, ideal buat pasangan, penggemar seni dan warisan, serta mereka yang mengimpikan percutian romantik yang penuh ketenangan.
Para pengunjung juga berpeluang meneroka pelbagai tarikan menarik berhampiran seperti Kampung Budaya Sarawak, denai hutan dan laluan pantai. – JM
