






Oleh: Sholina Osman
5 JULAI 2025
Bas Hop On Hop (HOHO) satu lagi produk pelancongan baharu di Perlis yang pastinya mengamit lebih ramai lagi berkunjung ke negeri paling ke utara ini.
Esok (6 Julai) bas HOHO bakal beroperasi secara rasminya.
Pelancaran bas HOHO ini bertepatan dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan bakal disambung lagi pada 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia (VMY).
Kalau sebelum ini beca roda tiga atau cholley menjadi daya penarik kepada pelancong untuk menyelusuri Kampung Warna Warni di Kuala Perlis.
PILIHAN KEPADA PELANCONG
Kini dengan usaha Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) memperkenalkan bas HOHO sekaligus akan menambahkan lagi pilihan kepada pelancong untuk bersiar-siar di beberapa lokasi menarik di Perlis.
Bayaran yang dikenakan hanya RM3 dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun ini.
Perkhidmatan akan disediakan hanya pada hari Sabtu dan Ahad dan ia bermula mulai pukul 9 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan bas setiap dua jam.
Setakat ini 10 lokasi bakal dilalui bas HOHO.
Ia melibatkan Terminal Perlis Sentral, Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Bukit Lagi, Masjid Alwi, Taman Bukit Lagi, Muzium Kota Kayang, Kampung Warna Warni, Masjid Terapung Al-Hussain, Jeti Kuala Perlis, Medan Ikan Bakar Kuala Perlis dan Pantai Kuala Perlis.
BOLEH MEMBELI TIKET
Penumpang boleh membeli tiket di Terminal Perlis Sentral atau pemandu bas bagi perjalanan dari mana-mana lokasi terbabit.
Sementara itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan melancarkan bas HOHO ini di Terminal Perlis Sentral pada 3 Julai.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan
Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Abu Bakar Hamzah, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Asrul Aimran Abd Jalil dan
Yang Dipertua MPKangar Affendi Rajini Kanth.
MERASAI SENDIRI PENGALAMAN
Penulis juga telah merasai sendiri pengalaman menarik semasa menaiki HOHO bersama dengan media lain.
Penumpang boleh menikmati keindahan Perlis dari bas ini sama ada di ruang tanpa bumbung atau berbumbung yang dilengkapi dengan penghawa dingin.
Sekalipun panas tetapi ia tidak menganggu keselesaan penumpang yang berada di ruang tanpa bumbung kerana keadaan cuaca yang berangin.
Semestinya pelancong akan terpersona melihat pemandangan menarik di sepanjang perjalanan termasuk sawah, landskap seni taman, bukit dan bangunan baharu kerajaan yang tersergam indah. – JM
