Kembar dari Sabah dan Pulau Pinang antara 1009 mendaftar pelajar Diploma UniMAP

Wartawan Jendela MADANI
5 JULAI 2025

Hasrat mendalami bidang kemahiran teknikal mendorong sepasang pelajar kembar dari Sabah untuk bersama-sama melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) walaupun terpaksa menempuh perjalanan beribu batu.

Mohamad Mirwansyah dan Mohamad Nirmansyah Arah ,18, dari Sandakan itu memulakan perjalanan menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu untuk menaiki kapal terbang ke Johor sebelum meneruskan perjalanan ke Perak dan seterusnya UniMAP dengan menaiki kereta.

Menurut ibu mereka Anisah Nasir, 42, perjalanan mereka bermula dari Isnin bersama suami Arah Araji, 41, nenek pasangan kembar itu dan anak bongsu sebelum singgah di rumah anak sulung yang bekerja di Johor Bharu.

Katanya, walaupun Sabah dan Perlis terlalu jauh dipisahkan Laut China Selatan tetapi demi memastikan anak-anak memperolehi pendidikan yang berkualiti menyebabkan mereka sekeluarga nekad untuk menghantar pasangan kembar itu bagi mengikuti pengajian masing-masing dalam bidang Kejuruteraan Elekrik dan Kejuruteraan Pembuatan.

KAMI MEMILIH UniMAP

“Lebih meyakinkan kami memilih UniMAP walaupun jauh kerana kakak mereka Sarifah Nurun Nisa,19, juga kini sedang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di sini (UniMAP) ,” katanya selepas Majlis Taklimat Waris sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Diploma Sesi Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini hari ini.

Selain pasangan kembar berkenaan, turut mencuri tumpuan adalah pasangan kembar dari Pulau Pinang Maxx Cheong Zhe Ming yang mendaftar sebagai pelajar Kejuruteraan Elektrik dan adiknya Ryan Cheong Jin Kai pula dalam bidang Kejuruteraan Bahan.

Terdahulu, UniMAP mencatat sejarah tersendiri apabila menerima kemasukan pelajar paling ramai sejak penubuhan universiti itu dengan 1009 pelajar Diploma baharu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata seramai 744 adalah pelajar lelaki manakala seramai 265 pelajar perempuan telah mendaftar untuk mengikuti tujuh program utama yang ditawarkan tujuh fakulti termasuk Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).

DIPLOMA PALING RAMAI

‘’Ini adalah jumlah kemasukan pelajar Diploma paling ramai dalam sejarah UniMAP dengan pecahan Kejuruteraan Bahan (152) , Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (145), Kejuruteraan Elektrik (155), Kejuruteraan Mekatronik (151), Kejuruteraan Komputer (108), Kejuruteraan Elektronik (162) dan Kejuruteraan Pembuatan (136).

“Peningkatan jumlah pelajar baharu ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan satu amanah dan kepercayaan yang tinggi daripada ibu bapa dan pelajar kepada UniMAP sebagai institusi pilihan untuk pendidikan tinggi,” katanya dalam taklimat kepada para waris.

Turut hadir Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Utama UniMAP.

Beliau turut menyatakan komitmen universiti dalam memberi jaminan untuk pelajar kurang berkemampuan dapat melanjutkan pengajian di universiti termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran bagi memudahkan urusan keluarga pelajar sebagaimana jaminan Menteri Pendidikan Tinggi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *