

Oleh: Sholina Osman
5 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil, dari 5 hingga 7 Julai 2025 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17.
Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan ia adalah atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun 2025.
Anwar akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 ini adalah selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.
MERUPAKAN MESYUARAT PERTAMA
Sidang Kemuncak ini merupakan mesyuarat pertama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan daripada Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS.
Malaysia secara rasminya menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025.
Di bawah Kepengerusian Brazil, BRICS akan memberi tumpuan kepada enam keutamaan utama:
Kesihatan Global; Perdagangan, Pelaburan dan Kewangan; Perubahan Iklim; Kecerdasan Buatan; Reformasi Tonggak Keselamatan dan Keamanan dalam Hubungan Pelbagai Hala; dan Pembangunan Institusi BRICS.
Tumpuan ini adalah selari dengan keutamaan-keutamaan nasional Malaysia dan komitmen berterusan Negara terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan.
CABARAN-CABARAN GLOBAL
Malaysia akan berkongsi pandangan dan keutamaan strategik Negara mengenai cabaran-cabaran global penting semasa Sidang Kemuncak ini.
Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi “Strengthening Multilateralism, Economic-Financial Affairs, and Artificial Intelligence” dan “Environment, COP30 and Global Health”.
Intervensi Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme dan memperjuangkan suara dan kepentingan negara-negara membangun, sejajar dengan matlamat teras BRICS 2025.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan berusaha memperkukuh jalinan kerjasama antara ASEAN dan BRICS bagi mempertingkatkan kerjasama serantau, dan perkongsian ekonomi, serta menyumbang kepada usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS, serta mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia. – JM
