






Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
6 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dengan penuh yakin bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global.
“Kita bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan malah kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia,” katanya yang terus diberi penghormatan untuk bersama-sama Presiden Luiz Inacio Lula da Silva membuka pentas Forum Perniagaan BRICS sebaik tiba di Rio De Janeiro, Brazil.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Lula diatas kepimpinannya yang berani dan berprinsip.
MELANGKAUI RETORIK POLITIK
“BRICS hari ini melangkaui retorik politik di mana ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata, keunikan BRICS terserlah dengan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan perjuangan ini bukan sekadar wacana elit tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan.
Sebagai Pengerusi ASEAN kata beliau Malaysia berkongsi aspirasi ini di mana di Asia Tenggara memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan sebagai langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.
MEMPERERAT KERJASAMA STRATEGIK
Tegas beliau anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.
“Saya turut menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua,” tambah beliau.
Beliau berkata, BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu. Dengan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, kita punya peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global. – JM
