



Oleh: Sholina Osman
10 JULAI 2025
Jabatan Pengangkutan Perlis (JPJ) Perlis telah menggenakan kompaun RM300 kepada seorang pemandu dan seorang penumpang sejak penguatkuasaan tali pinggang keledar bagi bas ekspres dan persiaran sejak 1 Julai lalu.
Pengarahnya, Norani Mohd Nawi berkata tindakan penguatkuasaan ini selaras dengan peruntukan undang – undang semasa di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah – kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) di mana tindakan saman boleh dikeluarkan serta – merta kepada pemandu mahupun penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar.
Beliau berkata bagi penumpang di bawah umur pula sebanyak 17 orang telah diberikan nasihat melalui advokasi agar sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa menggunakan perkhidmatan bas.
“JPJ Perlis telah melaksanakan Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran bermula 1 Julai 2025 bagi menangani isu keselamatan dan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas,” katanya pada sidang media.
Sebelum itu Noraini dan unit penguatkuasa JPJ Perlis melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas bas dan juga pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang di Terminal Perlis Sentral di Seriab, Kangar pagi ini (10 April).
PEMATUHAN SEMUA PEMANDU
Noraini berkata, berdasarkan statistik semasa pemeriksaan dan penguatkuasaan menunjukkan tahap pematuhan semua pemandu serta penumpang bas ekspres di Perlis berada ditahap yang baik.
“Namun begitu ia bukan jaminan bahawa penguatkuasaan akan dilonggarkan malahan ia akan terus
dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan tindakan yang lebih tegas,” kata beliau.
Beliau berkata, kaedah penguatkuasaan secara penyamaran oleh anggota penguatkuasa sebagai penumpang bas dengan melakukan rakaman video mahupun gambar sebagai pembuktian terdapat ketidakpatuhan dikalangan pemandu serta penumpang bas.
BAS YANG DIPERIKSA
“JPJ Perlis juga mendapati sebanyak 27 buah bas yang diperiksa adalah dibina selepas 1 Januari 2020 yang perlu dilengkapkan dengan tali pinggang keledar serta mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang,” katanya.
Selain aktiviti penguatkuasaan, JPJ Perlis juga kata Noraini akan terus memperkasakan kempen advokasi kepada pemandu dan penumpang bas bagi memastikan pemakaian tali pinggang keledar adalah perlu ketika menggunakan kenderaan perkhidmatan awam dan juga persendirian.
Beliau menjelaskna ia termasuklah kemudahan menggunakan aplikasi MyJPJ dalam menyalurkan aduan bagi sebarang kesalahan trafik atau lalulintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Pihak JPJ ingin mengingatkan semua pemandu dan penumpang untuk sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar serta semua pengusaha bas perlulah memastikan semua kenderaan dilengkapi dengan sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik,” tambahnya. – JM
