






Oleh: Sholina Osman
10 JULAI 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan RM20,000 kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, Perlis untuk pelaksanaan Program Pemerkasaan Kecemerlangan Akademik pelajar-pelajar sebagai usaha menyokong pembangunan intelek dan sahsiah generasi muda negeri ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan mengurniakan sumbangan secara simbolik ini kepada Pengetua MRSM Beseri, Rizalmi Dahaman baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman serta Timbalannya, Zahari Aziz.
RM300 SETIAP SEORANG
Terdahulu, Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM300 setiap seorang iaitu jumlah penuh RM12,000 kepada 40 orang pelajar MRSM Beseri.
Pelajar ini dipilih dari keluarga asnaf terpilih sempena Program MAIPs Peduli yang turut melibatkan aktiviti turun padang menyantuni masyarakat sekitar bersama warga Kerja MARA dan Alumni MRSM Beseri (ANSERI).
Aezlyn Optical iaitu salah sebuah syarikat milik usahawan MARA turut melaksanakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CDR) Cermin Mata pada petang yang sama.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah Baginda menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancang program-program bimbingan, kelas sokongan dan motivasi berimpak tinggi kepada calon-calon peperiksaan utama.
MENYEIMBANGKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK
Baginda turut menekankan kepentingan menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembentukan adab, nilai diri dan akhlak terpuji dalam kalangan pelajar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata sumbangan tersebut merupakan bukti komitmen MAIPs dalam mendukung kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak-anak Perlis.
“MAIPs sentiasa komited mendukung aspirasi membina ekosistem pendidikan yang holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berteraskan nilai murni dan adab. Kita mahu melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak mulia dan menyumbang kepada masyarakat,” ujar beliau.
Tambah beliau, pendekatan bantuan kepada institusi pendidikan seperti MRSM Beseri adalah langkah strategik untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat akses kepada program kecemerlangan, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPs, yang menyasarkan bantuan berterusan kepada institusi pendidikan, dengan tumpuan terhadap pelajar sebagai aset masa depan negeri dan negara. – JM
