



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Malaysia menyambut baik pelaburan Kesatuan Eropah (EU) dalam teknologi baharu, tenaga, aspek digital dan pendigitalan serta iklim, selain mendukung rundingan segera bagi Perjanjian Perdagangan Bebas MY-EU dan Perjanjian Rangka Kerja dengan Bank Pelaburan Eropah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata malah Malaysia juga menyatakan komitmen teguh bersama dalam memperkukuh hubungan Malaysia-EU.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Tinggi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah (EU)/ Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Kaja Kallas.
“EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan nilai dagangan mencecah USD47.93 bilion pada tahun 2024,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau turut menyentuh soal serantau termasuk isu melibatkan Ukraine, Palestin, dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) di Myanmar.
Perdana Menteri menjelaskan Malaysia kekal mendukung peranan ASEAN dan mengalu-alukan sokongan secara menyeluruh. – JM
