



Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Luar Negeri United Kingdom (UK) David Lammy dalam semangat memperkukuh hubungan dua hala.
Anwar berkata, hubungan berkenaan kini telah dinaik taraf kepada Strategic Partnership sejak pertemuan beliau dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer pada Januari lalu.
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang yang mencakup pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, perubahan iklim, pertahanan, pendigitalan dan AI.
LEBIH BANYAK PELABURAN
“Saya juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari UK, khususnya dalam sektor semikonduktor dan infrastruktur hijau melalui Agenda Perindustrian Global (APG),” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif UK sebagai rakan dialog ASEAN, khususnya dalam mendukung tindakan kemanusiaan di Myanmar dan menyeru gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Jelas beliau, hubungan Malaysia-UK semakin matang dan strategik, berteraskan nilai yang dikongsi bersama — keadilan, kedaulatan undang-undang dan kemanusiaan sejagat. – JM
